Saturday, June 7, 2014

Budak usrah.

Kalau berjalan tak seiring dengan sahabat usrah rasanya longgar semacam. Sebabnya kalau berjalan dengan sahabat mesti jalan ramai-ramai sampai tak muat jalan. Dalam kesenggangan masa berjalan ini jarang sekali bercakap perkara kosong. Mesti ada isu yang nak dibincangkan. Baik isu terkini, sirah nabawi, topik-topik usrah,idea sehingga ke topik baitul muslim. Eh.
Kerana berkongsi sakit yang sama buat kami rasa melengkapi. Susah nak cari duit kalau ada daurah, payah nak fotokopi risalah atau bahan usrah, perit lari daripada kekangan dan pelbagai lagi mehnah. Tapi sebab yakin Allah tolong, akhirnya kami jumpa juga jalan. Pertolongan Allah seringkali diperlihat pada sangat genting.
Sampai bab makan puak-puak ini paling sensitif. Tak aci makan dalam talam kalau hanya seorang mula dulu. Itu bukan ukhwah, itu kebulur. Paling hampeh kalau ada yang bangun awal sebelum habis makanan dalam talam. Tak adil kita tinggalkan sahabat kita terkontang-kanting sampai jegil mata nak habiskan lauk dalam talam. Baik teman setalam kita baru dalam usrah mahupun orang yang kita tak kenali, rukun menghabiskan makanan dalam talam adalah bersama.
Waktu tidak bersama dengan sahabat usrah adalah waktu besar potensinya untuk futur. Sebab futur ini tidak rasis. Futur juga boleh berjangkit pada orang yang memegang jawatan besar dalam organisasi sekalipun. Kalau dengan sahabat usrah, sebelum azan subuh dah bersiap bangun nak berjemaah. Kalau boleh sebelum ke surau kemaskini status Twitter dulu. Tapi kalau ada di rumah, bangun subuh pukul 7 kemudiannya disambung dengan qailullah awal sehingga ke tengahhari. Ini bahaya semua ahli usrah mesti pernah lalui.
Jamuan ahli usrah mana yang tak ada kambing? Mungkin usrah itu layak digelar usrah diet, usrah herbalife, usrah shaklee ataupun usrah sendayu tinggi. Kambing ini merupakan entiti penting dalam jamuan usrah. Keberadaannya mampu membuatkan ahli usrah yang datang sekali sepurnama turut hadir bersama menikmatinya.
Adapun yang menegur golongan ini assobiah, harus mendalami jiwa-jiwa golongan ini sebelum melabel. Sungguh puak-puak inipun jangan leka bergaul dengan orang yang sama fikrah saja. Susah nak cari target dakwah kalau begitu. Berlapang dadalah dalam menerima pandangan dan guna akal dalam memberi teguran. Bukan emosi.

Nota kaki : Sahaja aku post entri baru ini lilahitaala.

No comments:

Post a Comment

komentar / hatemail